suria

Kalimah Allah: Penerbit Herald Perlu Bertindak Jika Mahu Selesai Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan untuk menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah perlu dilakukan oleh Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia, Tan Sri Murphy Pakiam.

Ini kerana, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berpendapat, isu berkenaan dibawa ke muka pengadilan oleh Pakiam maka tindakan selanjutnya perlu dilakukan oleh beliau.

"Oleh kerana isu ini telah di bawa ke mahkamah, maka kerajaan akan menyelesaikan isu tersebut mengikut undang-undang mahkamah.

"Pada pendapat saya Tan Sri Pakiam yang perlu selesaikannya di luar mahkamah kerana dia yang bawa isu tersebut mahkamah. Kerajaan tidak pernah mengabaikan proses undang-undang kerana kerajaan tidak pernah membawa isu ini ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Hak-Hak Pengguna Pengangkutan Awam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik rayuan mereka apabila ada pihak tertentu telah mengambil kesempatan terhadap isu kontroversi itu.

Dalam pada itu, MohamedNazri menegaskan bahawa orang bukan Islam di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur wajar dibenarkan menggunakan kalimah Allah itu. "Di negeri-negeri lain mereka ada enakmen dalam undang-undang Islam negeri yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah itu.

"Pada pendapat saya keputusan mahkamah itu hanya efektif di Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang dan bukannya di negeri-negeri yang ada peruntukan undang-undang mengenainya,” katanya.

Nazri yang juga Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang berkata, beliau telah pergi ke gereja di Sarawak dan melihat bahawa kalimah Allah telah digunakan dalam upacara mass yang dilakukan oleh masyarakat Kristian di sana.

Tambahnya, masyarakat Islam di sana tidak ada masalah mengenainya kerana mereka faham mengenai budaya dan adat resam masyarakat di Malaysia Timur.

"Saya tidak fikir undang-undang itu perlu dilaksanakan di Sabah dan Sarawak. Saya rasa ia telah jadi budaya di sana tetapi ia berlainan dengan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Isu penggunaan kalimah Allah telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk kemarahan umat Islam apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, Lau membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan awalnya sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuan menteri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain