suria

Dua Lelaki Dikhuatiri Lemas Di Tongod

KINABATANGAN: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu yang mereka naiki terbalik akibat arus deras banjir ketika menyeberangi sungai di Kampung Saguan di Tongod pada Sabtu lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata kedua-dua lelaki itu dikenali sebagai Manaf Ansaroh berusia lingkungan 40-an dan Jasrin Asil berusia lingkungan 20-an.

Mereka dilaporkan hilang di sungai itu kira-kira pukul 3 petang dan laporan berhubung kejadian itu hanya dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razali berkata mengikut laporan awal, kedua-dua lelaki itu cuba menyeberangi sungai di kampung berkenaan bagi membantu keluarga mereka selepas rumah dinaiki air banjir.

Menurutnya sehingga malam ini, kedua-duanya belum ditemui dan usaha mencari mereka sukar dilakukan kerana lokasi kejadian yang jauh serta arus sungai yang deras. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain