suria

Bantuan Makanan Mangsa Banjir Di Telupid Dan Kinabatangan

SANDAKAN: Bantuan makanan kepada 1,121 mangsa banjir membabitkan 219 keluarga yang terputus hubungan akibat banjir di empat kampung di Telupid mula diedarkan hari ini.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Telupid Kamsah Sulaiman berkata bantuan makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat itu dihantar oleh pasukan penyelamat terdiri daripada anggota Bomba dan Penyelamat, Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam.

Katanya pasukan penyelamat menghantar bantuan makanan itu ke kampung terbabit iaitu Kiabau, Buis, Ansuan dan Baba dengan menggunakan bot setelah kawasan itu terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air dan jambatan gantung menghubungkan kampung rosak.

"Pemantauan masih dilakukan di kampung terbabit disebabkan keadaan air banjir yang belum lagi surut disebabkan limpahan air dari sungai Labuk," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tiga jambatan gantung di kampung Gambaron, Bauto dan Barayong untuk menyeberangi sungai Labuk turut rosak disebabkan arus deras di sungai itu.

Menurutnya jalan raya di kilometer 51 Jalan Telupid-Sandakan yang dinaiki air banjir sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan pada pagi ini.

Sementara itu di Kinabatangan, keadaan banjir di daerah itu bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada pagi ini bertambah kepada 1,251 orang membabitkan 284 keluarga.

Pengerusi PKOB Kinabatangan Arisin Arifin berkata empat lagi kampung terjejas akibat banjir iaitu di Tulang-Tulang, Kuamut, Desa Permai, Balat dan Tangkuyan, berbanding semalam hanya empat kampung di Sangau, Bukit Garam, Jaya Baru dan Pelangi.

Katanya bantuan makanan kepada mangsa banjir sudah mula diagihkan sejak semalam oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan bot.

Menurutnya paras air sungai Kinabatangan sehingga jam 8 pagi hari ini masih diparas bahaya iaitu 10.31 meter. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain