suria

Suspek Bunuh Empat Sekeluarga Akan Didakwa Selasa Ini

SEREMBAN: Suspek kes pembunuhan ngeri empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada 5 Januari lepas akan didakwa Selasa ini, kata Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh.

Polis kini melengkapkan kertas siasatan berdasarkan soal siasat ke atas suspek dan juga saksi, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian itu empat orang terdiri daripada sepasang suami isteri warga emas serta menantu lelaki dan cucu perempuan mereka ditemui mati dalam keadaan ngeri di dua buah rumah yang terletak bersebelahan di kampung itu.

Polis kemudian melancarkan gerakan memburu seorang lelaki berusia 34 tahun dan berjaya menahannya di Kuala Lumpur pada keesokan hari.

Dalam kes berlainan, seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas ditikam berulang kali dengan senjata tajam dalam kejadian pukul 2 pagi ini di sebuah restoran berhampiran Jalan Rompin-Bahau dekat sini.

Mangsa, Murad Yusuf, seorang kontraktor dari Kuala Klawang, Jelebu ditemui dengan tujuh kesan tikaman di dada, perut dan lengan, dan disahkan meninggal dunia setibanya di Hospital Jempol.

"Ada saksi ternampak beliau berkelahi dengan tiga lelaki lain yang datang dengan sebuah kereta Honda berwarna putih, dan adalah dipercayai mereka saling mengenali antara satu sama lain," katanya.

Polis menyiasat kes itu daripada semua aspek termasuk kemungkinan berpunca daripada persaingan perniagaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain