suria

Raja Muda Perlis Mahu Pengusaha Filem Utamakan Karya Bertema Impian Rakyat

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu lebih banyak filem bertemakan impian rakyat Malaysia diterbitkan yang mampu memberikan impak positif kepada orang ramai.

Baginda bertitah walaupun pengusaha filem lebih mengutamakan citarasa penonton namun baginda berharap mereka tidak mengabaikan aspek yang menjadi impian rakyat termasuk perpaduan, kesejahteraan rumah tangga dan keamanan sejagat.

Bertitah menutup Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke 7 (FFVPM7) di sini malam tadi, baginda juga mahu para penerbit sentiasa memberi penekanan mengenai penghayatan Rukun Negara sebagai salah satu aspek dalam penerbitan mereka.

Baginda juga berharap pengeluaran filem-filem yang memberi kesan negatif kepada masyarakat seperti yang mempunyai elemen negatif, tahyul serta penyakit sosial dikurangkan.

"Ini kerana tiada cadangan penyelesaian yang bernas melalui filem itu," titah baginda.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yakin generasi baru Malaysia akan menjadi warganegara yang berkualiti jika mereka disajikan dengan filem-filem yang dapat membentuk jiwa dan rohani mereka.

FFVPM7 anjuran bersama UniMAP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu berlangsung selama tiga hari di sini.

Festival yang disertai 20 institusi pengajian tinggi itu diisi dengan pelbagai program termasuk tayangan tayangan filem, forum perfileman dan pameran multimedia, pendidikan dan komersil.

Sementara itu filem bertajuk "Warna" karya Zaki Zakaria dari Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai filem terbaik keseluruhan. Pelajar perfileman itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, barangan bernilai RM1,599 dan trofi.

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan beberapa karyawan filem termasuk Senator Tan Sri Jins Shamsudin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain