suria

PKR Sarawak Bersedia Hadapi Pilihanraya Negeri

SIBU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak kini membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang. Ketua biro politiknya Baharuddin Mohsen berkata pihaknya telah mengenalpasti di peringkat awal calon yang berpotensi untuk bertanding di lima kerusi luar bandar.

"Mereka semua adalah profesional. Kami menolak dakwaan kononnya kami tidak mempunyai kemampuan mentadbir negeri sekiranya kami menang," katanya pada majlis bagi mengumumkan penubuhan cawangan PKR Ulu Salim di sini hari ini. "PKR sedia memikul tanggungjawab ini. Tolong beri kami peluang.

"Jika kami diberikan mandat, kami akan menegakkan peraturan dan prinsip demokrasi. Kami sedia ikut jalan keluar yang ditunjukkan rakyat Sarawak jika kami gagal dalam tugas," kata beliau.

Baharuddin membayangkan bahawa ketua Wanita PKR negeri Ibi Uding adalah antara lima calon yang berpotensi.

Ibi dijangka bertanding di Balai Ringin sementara Angela Jubing mungkin bertanding di Engkilili.

Yang lain ialah Richard Lias (sama ada di Ngemah atau Machan), Jemat Panjang (Lambir) dan Frankie Bedindang Manjah (sama ada di Balleh atau Pelagus).

"Kami mungkin juga bertanding kerusi Dudong," kata Baharuddin.

Ditanya pemberita, beliau berkata segalanya akan diserahkan kepada pengerusi PKR negeri Baru Bian untuk membuat keputusan muktamad. Beliau juga berkata PKR akan berbincang dengan pemimpin parti lain dalam Pakatan Rakyat berhubung hal pilihan raya negeri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain