suria

Perompak Tebuk Dinding Larikan Barang Kemas Lebih RM400,000

IPOH: Dua tahun selepas dirompak, sebuah kedai emas di Gunung Rapat di sini sekali lagi mengalami kerugian lebih RM400,000 apabila ia dipecah masuk awal pagi ini.

Kejadian itu disedari oleh pengurus kedai emas itu Roslan Zakaria, 52, semasa beliau membuka kedainya pada kira-kira 8.30 pagi tadi.

Roslan berkata semasa beliau hendak membuka kedainya pagi ini, pemilik kedai sebelah memberitahu bahawa ada lubang yang dikesan ditebuk pada dinding kedai mereka.

"Ketika memasuki kedai itu saya terkejut apabila mendapati satu lubang besar di dinding. Selepas memeriksa kedai, saya dapati beberapa dulang berisi barang kemas hilang," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pada awal pagi tadi alat penggera telefon bimbitnya yang disambung kepada sistem keselamatan kedai telah berbunyi tetapi beliau tidak mengendahkannya kerana pernah berbunyi sebelum ini tetapi apabila diperiksa tiada berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Roslan berkata ini merupakan kali kedua kedai emasnya menjadi sasaran penjenayah, di mana dalam kejadian pertama pada Oktober 2008 lepas, empat lelaki bersenjatakan pistol melarikan barang kemas bernilai RM500,000 di kedai itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ibrahim Abu Bakar berkata kejadian kali ini dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah malam tadi hingga pukul 3 pagi.

Katanya polis percaya lebih daripada dua penjenayah terlibat dan mereka menggunakan pengerudi untuk memecah masuk sebuah kedai gunting sebelum masuk ke kedai runcit yang bersebelahan dengan kedai emas itu.

Ibrahim berkata polis menemui sarung tangan yang ditinggalkan kumpulan itu.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mengetahui atau ada maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dengan menelefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain