suria

Makmal NKRA Rasuah Buat Kajian Akta Parti Politik Bulan Depan

KUCHING: Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bulan depan bagi membuat kajian terperinci berhubung cadangan menggubal Akta Parti Politk bagi membendung gejala rasuah di kalangan ahli politik di negara ini.

Makmal Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bagi Memerangi Rasuah akan mewujudkan jawatankuasa itu untuk mengenal pasti model akta parti dari negara luar yang mempunyai amalan demokrasi yang hampir sama dengan negara ini.

Ketua Makmal NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin berkata model akta parti yang akan dikaji kesesuaiannya ialah dari negara Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

"Kita masih dalam peringkat kajian untuk mencadangkan agar diwujudkan Akta Parti Politik," katanya kepada pemberita sempena Hari Terbuka NKRA di sini hari ini.

Katanya ketika ini parti politik tertakluk di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya ROS hanya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap calon sesuatu parti dan bukannya parti yang diwakilinya manakala SPR hanya akan membenarkan tindakan dikenakan terhadap calon dan bukan parti.

Hisham berkata hasil kajian tersebut akan diserahkan kepada Kabinet sebelum dikemukakan ke Dewan Rakyat.

Jelasnya kajian akta parti politik tersebut turut merangkumi hal-hal yang berkaitan sumber kewangan sesebuah parti untuk menjalankan aktiviti parti ataupun membeli bangunan.

"Rata-rata rakyat tertanya-tanya dari mana duit datang untuk parti bergerak dan dalam hirarki kita ahli politik terpaksa bergantung kepada kontraktor untuk simpati dan sumbangan untuk bergerak," katanya.

Beliau menjelaskan cadangan mewujudkan akta parti politik itu memerlukan sokongan bukan sahaja daripada parti yang memerintah malah juga pembangkang.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Sri Idris Jala berkata beliau berpuas hati dengan maklum balas orang ramai sepanjang dua hari Hari Terbuka NKRA itu.

"Kita menerima banyak cadangan dan komen daripada orang ramai dan kita akan cuba yang terbaik untuk membaiki lagi sistem perkhidmatan kerajaan khasnya di bawah enam teras utama NKRA," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain