suria

Lelaki Ditemui Mati Dalam Rumahnya

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 54 tahun ditemui mati oleh rakan serumahnya di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Jalan Sembilang, Taman Tenaga di sini.

Kejadian itu disedari oleh rakan mangsa yang menyewa bilik di rumah itu sebelum memberitahu seorang wanita yang tinggal di tingkat bawah rumah itu kira-kira 5 petang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah berkata wanita itu kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada kakak lelaki itu di Singapura yang kemudian menghubungi saudara mereka di ibu negara.

"Saudaranya yang ke rumah lelaki itu mendapati dia telah mati dan memaklumkan kepada polis pada kira-kira 8 malam.

"Hasil pemeriksaan, terdapat beberapa botol dan tin minuman keras berada di dalam bilik lelaki itu. Terdapat juga kesan darah yang dipercayai keluar dari mulut dan hidung lelaki itu akibat menahan kesakitan dan muntah," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu malam.

Beliau berkata siasatan awal tidak menunjukkan sebarang kesan bunuh, tikam dan pecah masuk dan lelaki itu dipercayai mati tidak lebih dari 24 jam lepas.

Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk siasat dan kes disiasat sebagai kematian mengejut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain