suria

Seorang Hilang, 3 Terselamat Bot Karam Di Perairan Santubong

KUCHING: Seorang awak-awak dikhuatiri lemas manakala tiga lagi terselamat apabila bot nelayan mereka karam akibat dipukul ombak kuat di perairan Santubong, dekat sini, Rabu lepas.

Pegawai Perhubungan Awam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak, Ahmad Zaharudin Baharudin, berkata, mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Abdullah Gebar, 43, dari Kampung Debak Laut, Debak, Betong.

Katanya, dalam kejadian pukul 4 pagi itu, tekong bot Zaini Masadi, 30, bersama dua awak-awak berjaya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berhampiran.

"Zaini dan dua awak-awak sempat berpaut dengan pelampung keselamatan manakala Abdullah tenggelam berikutan keadaan laut bergelora dengan ombak yang kuat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, selepas menerima laporan pada kira-kira jam 5 petang pada hari kejadian, Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim Malaysia (MRSC) Kuching melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang itu.

Ahmad Zaharudin berkata, operasi itu diketuai Leftenan Komander Maritim Muhamad Suhairy dengan bantuan Polis Marin, Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, operasi itu terpaksa ditangguh hari ini berikutan keadaan angin kencang, laut bergelora dan ombak yang mencapai ketinggian 4.5 meter.

Ahmad Zaharudin menasihatkan bot-bot kecil supaya jangan ke laut berikutan keadaan angin kencang dan laut bergelora.

Beliau turut meminta orang ramai melaporan sebarang kemalangan di laut terus kepada Pusat Operasi Maritim APMM Sarawak di talian 082-392414 atau 082-367907 untuk membolehkan APMM mengambil tindakan segera. - BERNAMA

Artikel Lain