suria

RMK-10 Beri Tumpuan Tahap Kecekapan

KOTA KINABALU: Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) akan memberi tumpuan terhadap usaha untuk memastikan kecekapan dalam pelaksanaan projek, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, hari ini.

Beliau berkata, sedikit perubahan akan dilakukan terhadap mekanisme yang digunakan, terutama tahap pengurusan dan pentadbiran, bagi memenuhi matlamat menjadi negara maju menjelang 2020.

"Kita tidak mempunyai banyak masa. Kita tidak boleh menunggu sehingga Rancangan Malaysia ke-11 untuk bersiap bagi 2020. Ia perlu dilakukan sekarang, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Satu-satunya cara untuk memastikan segala-galanya dilakukan dengan cepat dan berkos efektif ialah dengan meningkatkan kecekapan kerja," katanya kepada pemberita selepas berdialog dengan anggota pentadbiran Sabah mengenai RMK-10.

Nor Mohamed berkata, wujud kebimbangan mengenai prosedur dalam meluluskan projek yang mengambil masa lama daripada sepatutnya, dan perlu dipemudahkan supaya tidak wujud kelewatan dalam pelaksanaan.

"Kami mahu mengenal pasti mekanismenya supaya apabila projek diluluskan, pelaksanaan sebenar boleh dilakukan dengan lebih baik. Kami mahu memperkasakan rakyat di peringkat akar umbi bagi melaksanakan projek itu dengan lebih baik," katanya.

Nor Mohamed juga berkata, peningkatan kecekapan dalam sistem penyampaian merupakan pemacu utama pertumbuhan negara.

"Untuk menggerakkan Rancangan Malaysia Kesepuluh bermakna kita perlu memastikan kadar pertumbuhan tidak kurang daripada 5.5 peratus yang membolehkan kita merealisasikan Wawasan 2020," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain