suria

RM7 Juta Peruntukan Majukan Tadika Kemas Di Kedah

JITRA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukkan sebanyak RM7.3 juta untuk pembangunan kemudahan tadika-tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh Kedah bagi tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, daripada jumlah berkenaan, lebih RM5 juta diperuntukkan untuk menaik taraf peralatan-peralatan supaya sistem pendidikan peringkat tadika dapat dipertingkatkan.

"Bagi negeri ini, tiga kelas baru akan dibuka kerana jumlah pelajar semakin meningkat, lokasinya telah dikenal pasti dan akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama waris-waris pelajar tadika Kemas Dewan Undangan (DUN) Kota Siputeh dan kaunter khidmat rakyat, di Kodiang dekat sini hari ini.

Katanya, setakat ini terdapat 738 kelas tadika Kemas di negeri ini, dengan bilangan pelajar melebihi 18,000 orang pada tahun ini, berbanding lebih 17,000 pelajar pada tahun lepas.

Beliau berkata, peningkatan pelajar setiap tahun menunjukkan kemudahan tadika Kemas sangat penting terutama di kawasan luar bandar kerana tidak banyak tadika persedirian beroperasi di kawasan berkenaan.

"Pendidikan di peringkat pra-sekolah perlu diberi tumpuan dan keutamaan, kerana sekiranya kanak-kanak mempunyai asas yang kuat dan kukuh dari segi ilmu, ia akan memudahkan mereka mencapai kejayan di peringkat rendah dan menengah," katanya.

Mohd Shafie berkata, peruntukan bagi tadika Kemas seluruh negara pada tahun ini pula mencecah RM100 juta.

Sementara itu, mengenai kaunter khidmat rakyat yang julung kali diadakan hari ini, beliau berkata, sambutan amat menggalakkan dan ia memudahkan pihak kementerian mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.

"Ini konsep pertama yang kita bawa untuk mendengar masalah dan rungutan rakyat, selepas dapat semua maklumat kita akan cuba selesaikan segera dan hari ini sambutan sangat menggalakkan, ramai masyarakat datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain