suria

Polis Tumpas Sindiket Curi Kabel

MARAN: Polis Maran berjaya menumpaskan sindiket curi kabel telefon di beberapa kawasan Felda Jengka dekat sini dengan penahanan empat lelaki dalam operasi khas selama empat hari yang berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, sepasukan polis yang diketuai Inspektor Muhammad Rizman Ramly berjaya menahan tiga anggota sindiket itu yang masing-masing berusia 23, 31 dan 37 tahun di sebuah rumah di Felda Jengka 12 pada jam 8.30 pagi Selasa.

Dalam operasi tersebut, polis turut menemui 100 meter kabel telefon yang belum diproses, dawai kabel dan wayar telefon yang disorok dalam semak berhampiran.

Beliau berkata, polis kemudiannya menahan seorang lagi anggota sindiket itu yang berusia 31 tahun di sebuah rumah di Felda Jengka 21 pada pukul 2.30 pagi Khamis lepas.

"Polis turut menjumpai wayar tembaga yang sudah dibakar dalam rumahnya dan polis kini masih menjalankan siasatan untuk menangkap dipercayai dua lagi anggota kumpulan yang masih bebas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan penahanan empat lelaki terbabit, Ahmad Johari berkata, polis berjaya menyelesaikan 17 kes kecurian kabel telefon yang dianggarkan bernilai RM101,900 di kawasan Felda Jengka 11, 12, 13, 14, 15, 18, 21 dan 23 sejak dua tahun lepas.

Kesemua suspek yang merupakan penagih dadah dan mempunyai rekod kesalahan bahan itu kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, katanya.

Hasil penahanan suspek itu turut membawa kepada penangkapan dua pemilik premis barang-barang lusuh tanpa lesen di Jalan Besar Matau dekat Bandar Jengka, semalam.

Ahmad Johari berkata, dalam serbuan yang bermula pada pukul 9.40 pagi itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 24 dan 32 tahun selain merampas tujuh guni serta sebuah beg plastik berisi wayar tembaga yang telah diproses.

"Kita percaya dua premis barang-barang lusuh terbabit telah menjalankan aktiviti membeli kabel telefon yang dicuri," katanya.

Dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan mencuri kabel dan pembeli barang-barang curi di daerah itu diminta menyalurkan maklumat di talian hotline 09-4772999. - BERNAMA

Artikel Lain