suria

Penduduk Pulau Sebang Tidak Setuju Pampasan MPAG

ALOR GAJAH: Seramai 115 penduduk Pulau Sebang di sini menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tawaran penilaian harga oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terhadap pengambilan tanah mereka untuk projek pembangunan pekan kecil di kawasan itu.

Mereka mendakwa tidak pernah menolak pembangunan dan kemajuan kawasan itu tetapi menolak penilaian ganti rugi serta pampasan yang tidak setimpal dengan harga pasaran semasa tanah seluas enam hektar itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik-Pemilik Tanah di Pulau Sebang, Abu Samah Abu Kaseh mendakwa, harga tawaran MPAG adalah 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran yang dinilai oleh pihak penilai swasta.

"MPAG menawarkan antara RM7 hingga RM12 bagi satu kaki persegi (0.092 meter persegi) manakala nilai pasaran semasa adalah antara RM20 hingga RM30 satu kaki persegi," katanya pada sidang media di rumahnya di Kampung Kuala Ina, di sini, hari ini.

Abu Samah yang mendakwa mewakili lebih 60 penduduk berkata, MPAG telah mengeluarkan Borang H kepada penduduk yang terbabit pada 31 Disember lalu dan diberi tempoh enam minggu untuk memberi maklum balas terhadap tawaran itu.

Pesara kerajaan berusia 76 tahun itu berkata projek pembangunan di atas tanah mereka itu melibatkan pembinaan 100 unit rumah kedai dua tingkat serta pembangunan lain.

Seorang warga emas, Noyah Abdul Wahab, 81, mendakwa, beliau akan kehilangan punca pendapatan sehingga RM1,000 sebulan kerana mempunyai enam buah rumah sewa serta rumah kediamannya sendiri yang diduduki sejak turun temurun.

Seorang lagi penduduk, Halijah Yahya, 65, mendakwa MPAG menawarkan RM90,000 pampasan untuk tanah serta RM18,000 untuk rumah yang didiaminya.

"Bayangkan rumah yang saya diami sejak kecil lagi dinilai RM18,000 sedangkan harga sebuah rumah kos rendah pun dah mencapai RM40,000," katanya yang mahu kerajaan bertindak adil dalam isu pampasan pengambilan tanah itu.

Abu Samah berkata, pihaknya akan membawa kes pampasan tanah itu kepada mahkamah supaya penilaian yang lebih wajar dilakukan oleh MPAG.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek Negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan, berkata kerajaan negeri bersedia berunding dengan penduduk yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan oleh MPAG.

Abdul Ghafaar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek berkata, sekiranya tiada kata putus dicapai dalam soal pampasan, maka kerajaan negeri bersedia supaya perkara itu diselesaikan di mahkamah. - BERNAMA

Artikel Lain