suria

Penafian Hak Jumpa Peguam Dibuat Ketua Saya: Saksi

KUALA LUMPUR: Keputusan tidak membenarkan lima peguam yang ditangkap kerana didakwa enggan bersurai dalam perhimpunan haram berjumpa dengan peguam bela mereka dibuat oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supritendan Azri Abdul Rahman berkata, ketuanya, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memutuskan demikian atas nasihat Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Deputi Supritendan Judy Blacious Pereira dalam perbincangan yang dibuat berkaitan kes itu.

Katanya, beliau akur dengan keputusan ketuanya kerana beliau mempunyai justifikasi berbuat demikian mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah dalam menafikan hak tangkapan untuk mendapatkan khidmat peguam.

Azri berkata, disebabkan beliau ditugaskan mengendalikan kes tangkapan pertama melibatkan 14 orang yang lain, beliau tidak sepenuhnya berada di dalam perbincangan dengan ketuanya berkaitan penafian hak berjumpa peguam itu.

Peguam M.Puravalen yang mewakili lima peguam yang ditangkap itu memberitahu siasatan itu, sepatutnya Wan Bari meminta pandangan Azri berhubung perkara itu kerana beliau merupakan orang kedua penting dan bukannya Judy.

"Saya tidak terlibat secara berterusan dalam perbincangan antara Wan Bari, Judy dan pegawai polis lain. Dalam perbincangan ini saya masuk sekejap kemudian keluar, kemudian masuk balik," jawab Azri, sambil menambah tiada keperluan untuk ketuanya memberitahu mengenai keputusan yang beliau (Wan Bari) buat kepadanya kerana Wan Bari adalah ketuanya.

Azri dalam keterangannya berkata, beliau mendengar ketuanya memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Polis Daerah Brickfields dan meminta mereka yang berada di luar balai bersurai tetapi mereka termasuk lima peguam itu enggan berbuat demikian.

Katanya, beliau tahu mengenai kehadiran empat peguam yang ingin berjumpa lima peguam yang ditangkap itu tetapi tidak tahu siapa mereka kerana terdapat lebih sepuluh orang berada di luar kawasan balai ketika itu.

Azri, saksi ke-20 berkata demikian dalam siasatan awam itu yang bermula 14 Ogos tahun lepas, dipengerusikan Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Michael Yeoh dan Datuk Dr Denison Jayasooria.

Ia diadakan bagi menentukan, antara lain, sama ada penangkapan dan penahanan lima peguam itu di Balai Polis Brickfields menyebabkan penafian representasi undang-undang dan pelanggaran Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Kanun Prosedur Jenayah, dan dengan itu telah mencabuli hak asasi manusia.

Lima peguam yang ditahan itu adalah Puspawati Rosman, Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan.

Mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap kerana menghadiri perhimpunan di luar Balai Polis Brickfields pada 7 Mei tahun lepas antara jam 9.25 malam dan 9.30 malam, rentetan daripada perhimpunan sehari sebelumnya yang memprotes penahanan seorang penulis blog, Wong Chin Huat, di balai berkenaan.

Kesemua peguam itu mendakwa mereka berada di situ untuk mewakili mereka yang ditangkap terdahulu. Bagaimanapun selepas mereka ditangkap, polis tidak membenarkan empat peguam lain yang datang ke balai itu untuk berjumpa mereka.

Hari ini sepatutnya Wan Bari memberi keterangan tetapi inkuiri diberitahu bahawa beliau tidak sihat dan inkuiri itu menerima sijil cuti sakit yang diberikan Deputi Supritendan Dalbir Singh yang mewakili pihak polis dalam prosiding itu.

Inkuiri itu yang diadakan di Menara Tun Razak, akan disambung pada 28 Januari ini bagi mendengar keterangan Wan Bari. Inkuiri itu dijangka menutup kesnya pada hari itu juga. - BERNAMA

Artikel Lain