suria

Pelancong Tidak Perlu Bimbang Situasi Keselamatan Di Sabah: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, pelawat tidak perlu terlalu bimbang untuk mengunjungi Sabah, terutama bahagian timur negeri itu kerana kerajaan sentiasa memastikan keselamatan di kawasan itu terkawal.

"Kerajaan Malaysia tidak pernah mengeluarkan sebarang notis mengenai ancaman keselamatan di kawasan berkenaan. Kita lebih tahu.

"Saya berpendapat atas dasar itu jangan mereka terlalu bimbang situasi di Sabah, saya yakin situasinya masih aman", katanya mengulas "warden notice" yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat semalam dalam laman webnya.

Notis itu memberi amaran mengenai kemungkinan adanya kumpulan jenayah dan pengganas yang merancang serangan ke atas pelawat asing di Sabah.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri di Bandar Baru Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa keselamatan negara sentiasa meneruskan segala bentuk kawalan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan di negeri itu bagi memastikan aspek keselamatannya terjaga.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan kedutaan itu mengeluarkan amaran tersebut sebagai "biasa dibuat oleh Amerika Syarikat".

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, "warden notice" itu mungkin juga dikeluarkan kedutaan berkenaan berdasarkan perkembangan di Filipina.

"Mungkin mereka bimbang perkembangan yang berlaku di Filipina akan melimpah masuk ke Malaysia seperti kes terdahulu, bukan kerana Malaysia tidak mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan perairan kita," tegasnya.

Notis Amerika Syarikat itu menggesa agar langkah amat berjaga-jaga diambil oleh para pelawat yang mahu mengunjungi negeri itu, dan turut menyatakan tumpuan utama serangan mungkin pada resort-resort di kawasan terpencil di bahagian Timur negeri itu termasuk Semporna, Pulau Mabul dan Sipadan. Notis itu turut mengingatkan mengenai kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Selatan Filipina yang pernah terlibat dalam penculikan beberapa warga asing di Sabah sebelum ini.

Pada 2002, Amerika Syarikat pernah mengeluarkan nasihat perjalanan (travel advisory) memberi amaran mengenai ancaman keselamatan daripada kumpulan Abu Sayyaf di Filipina.

Dalam amaran itu, AS turut menyentuh kebimbangannya terhadap keselamatan pelawat yang menggunakan pengangkutan untuk mengunjungi resort di lokasi-lokasi terpencil di bahagian Timur Sabah. - BERNAMA

Artikel Lain