suria

Pasukan Keselamatan Dalam Kesiapsiagaan Tinggi - Ahmad Zahid

KOTA KINABALU: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata pelawat di Sabah tidak perlu risau dengan notis yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat semalam kerana pasukan keselamatan berada dalam kesiapsagaan yang tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Malah kata beliau pasukan pertahanan negara khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Markas Angkatan Tugas Bersama telahpun meningkatkan kawalan.

"Kita mengambil berat terhadap amaran pengembaraan tersebut. Saya ingin memberikan jaminan bahawa keselamatan pelancong-pelancong, rakyat tempatan akan dijadikan keutamaan dan insyaAllah kawasan-kawasan itu adalah selamat dengan operasi yang kita lakukan selama 24 jam setiap hari," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja ke Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar dekat sini.

Semalam, kedutaan itu menerusi laman webnya mengeluarkan 'warden notice' yang antara lain menyatakan kemungkinan adanya kumpulan jenayah dan pengganas yang merancang serangan ke atas pelawat asing di perairan timur Sabah. BERNAMA

Artikel Lain