suria

Malaysia Mahu Teroka Peluang Di Arab Saudi

JEDDAH: Malaysia mahu mengambil kesempatan terhadap peluang ekonomi yang ditawarkan oleh Arab Saudi, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan hubungan antara kedua-dua negara Islam itu sebagai "sangat penting dan strategik".

Beliau berkata, bajet Arab Saudi AS$144 bilion bagi 2010 boleh diterjemahkan sebagai kemungkinan yang menarik untuk syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam aktiviti ekonomi negara itu serta bidang lain.

"Saya harap kita akan dapat meluaskan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, bukan sahaja dalam dagangan, malah bidang lain seperti kewangan dan insurans Islam, makanan halal dan pembangunan hartanah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada satu majlis anjuran Majlis Perniagaan Malaysia di sini pada malam Ahad sempena lawatan rasmi empat harinya ke Arab Saudi.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Arab Saudi bernilai hampir AS$1.8 bilion antara Januari-November 2009. Najib berkata, Malaysia juga mengintai lebih banyak pelawat serta pelancongan perubatan dari negara kaya itu.

"Dari segi prospek masa depan, saya yakin Arab Saudi menawarkan peluang yang lebih besar untuk kita, dan kita mesti menempatkan diri kita dalam pasaran ini dengan baik," katanya.

Beliau berkata, Malaysia merupakan pelabur asing ke-13 terbesar di Arab Saudi pada 2008.

"Dan jika kita masukkan jumlah nilai pelaburan firma Malaysia di Bandaraya Ekonomi Jizan, Malaysia menduduki tempat keempat dari segi pelaburan asing ke negara itu," katanya.

Jumlah syarikat Malaysia yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Am Arab Saudi sebanyak 87, dan 17 daripadanya terlibat dalam sektor industri dengan jumlah pelaburan bernilai AS$4.3 bilion.

Selebihnya terlibat dalam sektor perkhidmatan dengan pelaburan bernilai AS$238.6 juta.

Najib berkata, terdapat jalinan positif antara Arab Saudi dan Malaysia yang boleh menjurus kepada peningkatan dalam hubungan dua hala.

Menurut beliau, pemimpin Arab Saudi memandang tinggi Malaysia dan menganggapnya sebagai negara sahabat dalam banyak aspek dan mereka juga kagum dengan pelaksanaan urusan haji Malaysia.

Najib kemudiannya berlepas ke Riyadh dan dijadual menemui Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud. Lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi adalah atas jemputan Raja Arab Saudi. - BERNAMA

Artikel Lain