suria

Lelaki Dipercayai Warga Indonesia Ditemui Mati Dikelar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai warganegara Indonesia ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di pekarangan sebuah rumah separa siap di Jalan Kasawari, Puchong Jaya dekat sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Abdul Aziz Abdul Majid ketika dihubungi berkata, mangsa yang berumur lingkungan awal 30-an itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan yang kebetulan sedang melakukan rondaan di kawasan perumahan berkenaan kira-kira jam 11 malam.

"Pemeriksaan polis mendapati terdapat kesan kelar di beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk di leher, perut dan belakang badan.

"Kita juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa mahupun senjata di kawasan kejadian," katanya.

Beliau berkata, polis percaya mangsa meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui dan motif kejadian masih disiasat.

Menurutnya, mayat mangsa yang lengkap berpakaian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain