suria

Lebih Muatan Punca Bumbung Sekolah Runtuh

KUALA LUMPUR: Keruntuhan sebahagian kerangka bumbung bangunan baru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Connaught di Cheras, di sini semalam adalah akibat lebihan bebanan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh kontraktor terbabit yang menjelaskan kejadian berpunca daripada longgokan kepingan atap genting berlebihan di bahagian yang runtuh.

"Akibat kekangan ruang di kawasan ini, pekerja mengangkut secara manual kepingan atap dan kemudian menghimpunkannya di satu bahagian sahaja (menyebabkan berlaku lebihan bebanan di bahagian itu)," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian hari ini.

Wee memberi jaminan kejadian itu tidak menjejaskan keselamatan pelajar dan meminta ibu bapa tidak menjadikan insiden tersebut sebagai alasan untuk tidak membenarkan anak-anak mereka datang ke sekolah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kontraktor memberi jaminan bumbung yang runtuh itu akan siap dibaiki dalam masa sebulan dan tidak akan menjejaskan pembinaan bangunan empat tingkat tersebut yang dijadual siap pada Mac ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, tiga pekerja cedera ringan apabila sebahagian daripada rangka bumbung bangunan yang memuatkan 16 bilik darjah itu runtuh. - BERNAMA

Artikel Lain