suria

KPT Tidak Halang Penuntut Kemuka Memorandum

JOHOR BAHARU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menghalang mana-mana penuntut untuk mengemukakan memorandum bagaimanapun penyerahan itu perlu mematuhi undang-undang dan bersesuaian dengan masa, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Saya galakkan pelajar hantar memorandum tapi biarlah masa yang sesuai dan mestilah patuhi undang-undang. Pokoknya sekarang ialah musim pilihan raya kampus, apa sahaja cara digunakan untuk mendapatkan publisiti," katanya.

Menteri itu berkata, beliau yakin semua pelajar bersikap matang dan memahami proses berkenaan. Mohamed Khaled bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pecah tanah Pusat Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) fasa II, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu mengulas penahanan dua penuntut dan seorang wartawan sebuah akhbar pembangkang yang menyertai perhimpunan membantah pelaksanaan undi elektronik (e-undi) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di depan KPT, di Putrajaya, semalam. Laporan menyebut ketiga-tiga mereka ditahan setelah enggan mematuhi arahan polis supaya bersurai dan difahamkan perhimpunan itu antara lain bertujuan menyerahkan memorandum kepada menteri berkenaan.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, hubungan antara akademia dan industri perlu terus ditingkatkan bagi menghasilkan lebih banyak produk berinovatif di negara ini.

Jalinan (kerjasama) antara akademia dan industri katanya, merupakan hubungan simbiotik yang bukan sahaja mendatangkan keuntungan menang-menang kepada kedua belah pihak tetapi mampu mendatangkan hasil berganda.

"Mana-mana institusi pengajian tinggi tidak dapat menjauhkan diri daripada aktiviti komersial yang rata-rata dipelopori oleh pihak industri.

"Industri memerlukan universiti untuk menghasilkan produk berinovatif, manakala akademia dalam universiti pula memerlukan dana untuk membantu mereka," katanya sambil memuji usaha penubuhan pusat tersebut.

Pusat Teknologi UTM-MTDC Fasa II dibangunkan di tapak seluas 0.4 hektar yang mampu menempatkan 25 syarikat berasaskan teknologi khususnya sains hayat.

Ia bakal menempatkan Syarikat Terbitan Universiti yang akan mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) UTM di bawah program UTM-MTDC Simbiosis. - BERNAMA

Artikel Lain