suria

Dua Wanita, Seorang Lelaki Ditahan Miliki Lebih 100 Gram Syabu

MIRI: Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki yang disyaki anggota sindiket pengedaran dadah di sini dan merampas 106.39 gram benda putih yang dipercayai syabu dalam operasi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Jamaludin Ibrahim berkata polis melakukan serbuan itu di sebuah kedai perkhidmatan kiriman cepat di bandaraya ini sebelum menahan dua wanita itu, kedua-duanya berumur 30 tahun, selepas mereka mengambil bungkusan daripada kedai itu, yang kemudian didapati mengandungi benda putih itu.

Wanita-wanita itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah di sebuah kawasan perumahan di utara bandaraya ini di mana polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun.

Jamaludin berkata siasatan awal mereka mendapati dadah itu dibawa dari Semenanjung untuk dijual di sini.

Katanya siasatan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain