suria

Polis Tingkat Kawalan Keselamatan Di Sabah

KUALA LUMPUR: Polis menasihati rakyat tempatan dan pelancong asing agar bertenang dan memberi jaminan akan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan pantai dan pulau di sekitar Sabah sebagai langkah berjaga-jaga ekoran laporan bahawa pengganas akan menyerang pelancong asing di kawasan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata kawalan ketat akan sentiasa dijalankan dalam memastikan negara bebas daripada segala bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negeri itu untuk meningkatkan lagi kawalan di kawasan pantai dan pulau di sekitar Sabah terutama Semporna, Mabul dan Sipadan.

"Kita akan sentiasa memantau keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya. Justeru rakyat dan pelancong diminta untuk bertenang dan tidak perlu bimbang kerana kita sentiasa berjaga-jaga," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau diminta mengulas mengenai nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh kedutaan Amerika Syarikat di sini yang memberi amaran bahawa kumpulan penjenayah dan pengganas sedang merancang untuk menyerang rakyat asing di pulau-pulau di sekitar Sabah.

Kenyataan kedutaan itu menggesa agar langkah berjaga-jaga diutamakan dalam membuat sebarang perjalanan ke kawasan pedalaman di timur Sabah termasuk Semporna dan pulau Mabul serta Sipadan.

Nasihat perjalanan itu berkata kumpulan militan Abu Sayaf yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Al-Qaeda yang berpangkalan di selatan Filipina, yang mudah didatangi dengan bot ke Sabah telah menculik warga asing daripada kawasan resot di Sabah tidak lama dahulu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain