suria

Ong Tidak Mahu Sebarang Kelewatan

KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan tidak lagi akan bertolak ansur dengan sebarang kelewatan pelaksanaan projek pembangunannya khususnya dalam menaik taraf kemudahan atau membina infrastruktur baru.

Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sebarang masalah yang dihadapi oleh kontraktor perlu dimaklumkan dengan segera bagi mencari jalan penyelesaian agar kelewatan itu tidak berpanjangan.

"Saya sudah mengarahkan pegawai saya supaya mengeluarkan kata dua (kepada kontraktor) agar tidak ada lagi kelewatan dalam semua projek kementerian.

"Kami tidak mahu membenarkan sebarang kelewatan lagi yang boleh menggagalkan insiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penerbangan sulung AirAsia bagi laluan Kota Kinabalu-Taipei di sini hari ini.

Ong berkata demikian ketika mengulas kelewatan kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang memaksa tarikh jangkaan siap projek itu ditunda ke setahun lagi.

Terdahulu itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam ucapannya, berkata, akibat kelewatan projek itu, negeri itu kehilangan potensi banyak penerbangan langsung dari destinasi luar negara.

Ong berkata, kementeriannya sedar alasan di sebalik kelewatan itu khususnya masalah yang dihadapi oleh kontraktor dan ianya adalah di luar kawalan kementerian dan Malaysia Airport Holdings Berhad.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja di lapangan terbang itu sudah 90 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 19 Mei ini.

Ditanya sama ada AirAsia, yang kini beroperasi di terminal 2 KKIA, akan dipindah operasinya di terminal utama selepas kerja-kerja naik taraf itu siap, Ong berkata, perkara itu sudah dibangkitkan beberapa kali tetapi status quo mengenal hal itu masih kekal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain