suria

Najib, Rombongan Tunai Ibadah Umrah

MEKAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi, meluangkan masa untuk mengerjakan umrah pada Khamis malam.

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anggota delegasinya, memulakan ibadah itu kira-kira 11 malam dan selesai melakukan tawaf tujuh kali sekeliling Kaabah serta sa'ie kira-kira dua jam kemudian.

Delegasi itu diketuai oleh Jamil Sulaiman Jalal yang berkata, beliau turut menjalankan tugas sebagai mutawif kepada bapa Najib, Allahyarham Tun Razak Hussein, iaitu Perdana Menteri Kedua Malaysia.

Pemimpin Malaysia itu dijadual menunaikan solat Jumaat dan melakukan tawaf Wida lewat hari ini sebelum berlepas ke Jeddah untuk menghadiri perhimpunan bersama anggota komuniti perniagaan Malaysia di Arab Saudi petang ini.

Lawatan beliau ke Arab Saudi bertujuan menggalakkan hubungan lebih akrab antara Malaysia dan negara yang kaya dengan minyak ini, termasuk dalam bidang ekonomi.

Rombongan beliau turut dianggotai beberapa menteri, pemimpin negeri dan pegawai kanan kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain