suria

Najib Dan Delegasi Melawat Universiti Arab Saudi

JEDDAH: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis melawat King Abdullah University of Science and Technology (KAUST) yang berhasrat untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan ternama di dunia menjelang tahun 2020.

Beliau yang tiba di sini malam Rabu, melawat universiti itu hampir dua jam. Presiden KAUST Professor Choon Fong Shih memberikan taklimat kepada Najib dan delegasinya, termasuk isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, mengenai pembangunan institusi pengajian tinggi itu yang dilancarkan pada September 2009.

Enam rakyat Malaysia adalah antara penuntut yang sedang mengikuti pengajian di universiti tersebut yang terletak lebih 100km dari Jeddah.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Malaysia adalah antara pemimpin dunia yang berangkat menghadiri upacara pelancaran universiti tersebut oleh Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Raja Abdullah telah mengisytiharkan bahawa institusi itu bukan hanya menjadi sebuah "Rumah Kebijaksanaan" tetapi juga sebuah "Cahaya Toleransi" dalam dunia yang dikaitkan dengan serangan ekstremis.

KAUST mewujudkan pusat penyelidikan pelbagai bidang yang menumpukan pemangkinan, pembakaran bersih, biosains perkomputeran, pemodelan dan visualisasi geometrik, membran, genom tekanan tumbuhan dan teknologi, sains dan kejuruteraan Laut Merah, solar dan tenaga alternatif dan pengawagaraman dan penggunaan semula air.

Najib dan delegasi beliau melawat kemudahan yang boleh pada akhirnya menampung kira-kira 20,000 penuntut dan kakitangan universiti itu.

Antara misi KAUST ialah untuk membantu memperbagaikan ekonomi Arab Saudi melalui inovasi dan usahawanan dan berfungsi sebagai pemangkin bagi memperbaiki kehidupan serta merapatkan orang ramai dan kebudayaan.

Wawasan KAUST 2030 ialah untuk menjadi sebuah hub sains dan inovasi mengenai tebing laut Laut Merah. BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain