suria

Mahkamah Syariah Tiada Kuasa Undang-Undang Syarikat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan injunksi interim dua anak perempuan Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed untuk mengetepikan injunksi ex-parte abang mereka, Syed Gamal Syed Kechik bagi menghalang penjualan atau pencairan 44 peratus saham miliknya dalam syarikat Syed Kechik Holdings Sdn Bhd serta harta-harta syarikat yang lain.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas memutuskan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam menentukan isu-isu berkenaan dengan undang-undang syarikat.

Menerusi injuksi interim itu, Syed Gamal dihalang daripada mengganggu dan campur tangan dalam urusan-urusan dan pentadbiran, memasuki premis-premis Syed Kechik Holdings Sdn Bhd serta mengakses rekod serta akaun syarikat itu.

Beliau turut dihalang mencampuri urusan hal pelaksanaan tugas dan kuasa mereka selaku pengarah Syed Kechik Holdings.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinather di Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini, hari ini.

Dua anak perempuan Allahyarham Syed Kechik iaitu Sharifah Zarah dan Sharifah Munira tidak hadir dalam prosiding tetapi diwakili oleh peguam mereka, Datuk Vijay Kumar.

Syed Gamal hadir bersama sepupunya, Syed Azman Syed Mansor Al-Bukhary.

Pada 31 Julai lalu, Syed Gamal memohon dan memperolehi Sijil Fara'id dari Mahkamah Syariah di sini. Sijil itu mengiktiraf Syed Gamal sebagai salah seorang benefisiari harta bapanya dan diberikan bahagian sebanyak 44 peratus memandangkan dia merupakan waris lelaki tunggal bagi harta-harta tersebut.

Lain-lain benefisiari yang dinyatakan dalam sijil itu ialah Sharifah Zarah, Sharifah Munira dan ibu mereka, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah.

Pada 14 September lalu, Syed Gamal memperoleh perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) bagi menghalang penjualan atau pencairan 44 peratus saham miliknya dalam syarikat Syed Kechik Holdings Sdn Bhd serta harta-harta syarikat yang lain.

Jumlah keseluruhan harta pusaka yang ditinggalkan Allahyarham Syed Kechik dianggarkan bernilai RM400 juta.

Sementara itu, Peguam Atan Mustaffa yang mewakili Syed Gamal menyifatkan implikasi keputusan Mahkamah Tinggi hari ini sebagai 'membatalkan' implikasi keputusan Mahkamah Syariah.

"Mahkamah Tinggi bagaimanapun tidak membuat deklarasi bahawa keputusan dan arahan Mahkamah Syariah adalah tidak sah.

"Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan di bawah bidang kuasanya iaitu membenarkan injunksi untuk menghalang plaintif (Syed Gamal) daripada membuat apa-apa yang dibenarkan oleh Mahkamah Syariah," katanya.

Pada 11 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan Syariah di sini mengekalkan perintah injunksi melarang harta pusaka yang diwarisi anak lelaki Allahyarham Tan Sri Syed Kechik, Syed Gamal Syed Kechik daripada dijual atau dicairkan.

Syed Gamal ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

"Saya akan meneruskan perjuangan mendapatkan hak-hak saya. Insya-Allah, ia akan diselesaikan mengikut faraid. Ini bukan sahaja satu perjuangan untuk saya sendiri tetapi keturunan serta keluarga saya.

"Hak-hak saya telah diketepikan hampir keseluruhan kehidupan saya. Saya hanya memperjuangkan hak-hak saya," tegasnya.

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain