suria

Lelaki Ditahan Bersama Dadah Bernilai Hampir RM200,000

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai bergerak aktif menjalankan pengedaran dadah secara sendirian ditahan bersama dadah yang dianggarkan bernilai hampir RM200,000 di Jalan Alor di sini Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, suspek yang berumur 30 tahun itu dipercayai bergiat aktif mengedar dadah jenis syabu dan heroin sejak lima bulan lalu di sekitar ibu negara dan Selangor.

"Suspek ini bergerak secara individu dengan menerima panggilan telefon dari pelanggan dan menemui pelanggan di satu lokasi yang dijanjikan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Kang berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui 102 gram dadah jenis syabu dan 2,231 gram heroin dalam beg yang digalasnya.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah itu dan punca bekalan dadah diperolehi.

"Suspek yang masih bujang ini tidak bekerja dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan memiliki dadah dan dia juga positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam beberapa serbuan lain pada 6 Januari lepas, polis berjaya menumpaskan sekumpulan pengedar dadah di sekitar Gombak dan Setapak dengan tertangkapnya 10 lelaki serta seorang wanita dan merampas sejumlah dadah bernilai RM5,000.

Pada mulanya, polis menyerbu sebuah unit kondominium di Jalan Genting Klang, Setapak dan menahan tiga lelaki yang dipercayai anggota kumpulan pengedaran dadah antara kira-kira pukul 9 malam hingga 7 pagi selepas mendapat maklumat dari orang awam bahawa rumah tersebut menjadi sarang penagih dadah.

"Melalui serbuan itu, polis berjaya mengesan kawan-kawan mereka yang lain dengan menyerbu sebuah unit lain di kondominium yang sama di Jalan Genting Klang, Taman Melati, Taman Sri Gombak dan Gombak Setia.

"Hasil beberapa serbuan itu, polis merampas ganja seberat 1,569 gram, satu paket syabu seberat 0.35 gram dan 12 biji pil ecstacy," katanya.

Kesemua suspek dalam lingkungan umur antara 28 hingga 41 tahun dan kesemuanya didapati positif dadah.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan bagi mencari punca bekalan mereka diperolehi yang dipercayai dari negeri di sebelah utara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain