suria

Kerajaan Sasar Lahirkan 800 Doktor Gigi Setahun

PUTRAJAYA: Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan kira-kira 800 doktor gigi setahun bagi menampung keperluan rakyat di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, ia juga bagi mencapai sasaran yang ditetapkan Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyediakan seorang doktor gigi bagi setiap 4,000 penduduk menjelang 2018 berbanding seorang doktor gigi bagi setiap 7,840 penduduk sekarang.

Pada masa ini katanya, hanya 250 doktor gigi dilahirkan setahun melalui 11 fakulti pergigian di pusat pengajian tinggi seluruh negara.

"Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mencari jalan membuka lebih banyak fakulti untuk melahirkan lebih ramai doktor gigi," katanya selepas kunjungan hormat daripada Persatuan Kesihatan Mulut China dan Persatuan Pergigian Malaysia di sini hari ini.

Liow berkata, fakulti yang ada pada ketika ini turut akan meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar mereka, namun ia tetap tidak dapat menampung pelajar terlalu ramai kerana kursus tersebut memerlukan pengawasan rapi kerana setiap pelajar perlu mempunyai kemahiran klinikal.

"Ada nisbah berapa ramai pelajar kepada pensyarah dan sebagainya, jadi pengambilan sebenar sangat kecil dan seperti di banyak negara lagi, pengambilan maksimum adalah 100 pelajar bagi setiap fakulti," katanya.

Sementara itu, Liow berkata, sebanyak 90 peratus daripada penduduk dewasa negara ini didapati menghadapi masalah gigi, manakala 60 peratus kanak-kanak berumur 12 tahun di negara ini menghadapi masalah masa.

Beliau berkata, bagi kanak-kanak, fakta itu amat membimbangkan lebih-lebih lagi ia terjadi di kalangan mereka yang sudah mempunyai gigi kekal.

"Kalau gigi susu yang rosak tak mengapalah kerana ada peluang kedua tapi kalau dah Darjah Enam pun masih mempunyai masalah gigi ia amat membimbangkan.

"Ini serius dan kami perlu melihatnya dengan serius. Jika tidak apabila mereka dewasa, semua gigi kena buang dan semua kena pakai gigi palsu. Ini tidak sihat bagi rakyat kita," katanya.

Untuk itu katanya, kerajaan dengan kerjasama Persatuan Pergigian Malaysia akan melancarkan kempen kesihatan gigi secara besar-besaran Mac ini, yang akan melibatkan kempen bersiri untuk mendidik orang awam tentang kepentingan penjagaan gigi, termasuk di sekolah-sekolah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain