suria

Keputusan Kes Bunuh Tiga Bersaudara Diputuskan 25 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 25 Januari untuk keputusan kes tiga bersaudara yang didakwa menyebabkan kematian bapa dan emak saudara mereka pada hari raya Aidilfitri, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan.

Muhammad Ilyas Abdul Razak, 25 dan adiknya Muhammad Fauzi, 23, serta sepupunya Muhammad Nizam Mohd Ibrahim, 21, mula membela diri pada 30 Disember lalu dan mereka memberi keterangan menerusi kandang tertuduh.

Sepanjang membela diri, Pakar Psikiatri Forensik, Dr Robiah Mohd Salleh turut dipanggil memberi keterangan.

Ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian bapa dan emak saudara mereka, Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan Rosina SM Mydin Pillay, 42, di rumah No 5-7C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, di sini pada 1 Okt 2008 antara jam 12 tengah hari dan 8 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun. Azman memerintahkan mereka membela diri bermula 30 Dis tahun lalu.

Sebelum ini mereka didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati kerana membunuh tetapi Azman memindanya ketika di akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, ketika berhujah Peguam Supramaniam Kasia Pillai yang mewakili ketiga-tiga tertuduh berkata, tiada keterangan terus terhadap Muhammad Fauzi dan Muhammad Nizam yang menunjukkan mereka berpakat untuk mematikan mangsa dan keduanya telah mengakui mereka dalam keadaan dipukau.

Muhammad Ilyas pula katanya, mempunyai masalah mental yang serius dan ia telah disahkan pihak pakar.

"Menurut saksi, Muhammad Illyas yang menjadi dalang dengan dipengaruhi delusi, halusinasi dan simptom penyakit mental. Ia berkaitan dengan satu kepercayaan yang dibawa oleh kumpulan Ashaari Abuya (bekas ketua kumpulan yang telah diharamkan, Al Arqam).

"Muhamad Ilyas seolah-olah boleh berkomunikasi dengan Abuya dan boleh melihatnya semasa keadaan sedar dan segala aksi beliau adalah arahan Abuya. Itu membuat mereka melakukan apa sahaja seolah-olah ianya atas arahan Abuya," katanya.

Beliau memohon agar Muhammad Fauzi dan Muhammad Nizam dilepaskan dan dibebaskan manakala Muhammad Ilyas diperintah menjalani rawatan di hospital pesakit mental.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin berkata, tindakan ketiga-tiga tertuduh merakam keadaan mangsa adalah jelas menunjukkan mereka sebenarnya sedar dan berniat untuk mematikan kedua-duanya.

Katanya, tindakan itu dibuat bagi meraih kepercayaan ahli keluarga mereka yang lain yang kononnya Muhammad Ilyas mempunyai kelebihan menghidupkan orang yang telah mati.

Tambahnya, keterangan kesemua tertuduh pula adalah pernyataan bersifat penafian semata-mata dan suatu helah kosong untuk mengalihkan isu sebenar.

"Tertuduh kedua dan ketiga sedar dengan perbuatan mereka. Pukau bukanlah sama sekali boleh dijadikan faktor pembelaan bagi ketiga-tiga tertuduh di dalam kes ini. Ini kerana saksi (pakar psikiatri) telah mengesahkan bahawa tertuduh kedua dan ketiga siuman dan bertindak atas kepercayaan yang kuat terhadap ilusi tertuduh pertama," katanya.

Aidatul turut berhujah bahawa Muhammad Ilyas sebenarnya gagal dalam mebuktikan dia tidak siuman kerana tiada doktor lain yang dipanggil memberi keterangan selain Dr Robiah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain