suria

Kaunter Derma Darah Dibuka Di 19 Buah Lapangan Terbang

PUTRAJAYA: Orang ramai kini boleh menderma darah di lapangan terbang setelah Malaysia Airports menjalinkan kerjasama dengan Pusat Darah Negara dengan membuka kaunter derma darah di 19 buah lapangan terbang di bawah pengurusan syarikat itu.

Malaysia Airports dalam satu kenyataannya hari ini berkata langkah itu menjadi sebahagian daripada usaha syarikat mempromosikan masyarakat penyayang dan membantu mengatasi kekurangan bekalan darah menerusi 'Kempen Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar 2010'.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports Nik Anis Nik Zakaria berkata syarikat itu ingin bersama-sama dengan usaha murni Pusat Darah Negara dalam usaha menyelamatkan nyawa dengan menderma darah.

"Untuk itu, melalui lapangan terbang yang diuruskan oleh syarikat, kami akan menyediakan platform untuk kakitangan kami, agensi-agensi yang beroperasi di lapangan terbang dan juga orang ramai untuk menambah bekalan darah bagi membantu mereka yang memerlukan selain menjalankan tanggungjawab korporat syarikat, katanya.

Kempen itu akan bermula 19 Januari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diikuti oleh lapangan terbang lain pada keesokkan harinya.

Nik Anis berkata syarikat itu mensasarkan sekurang-kurangnya 50 orang penderma akan menderma darah di setiap lapangan terbang yang terlibat.

Bagi menggalakkan lagi penyertaan orang ramai, penderma akan menerima cenderahati daripada syarikat itu dan berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan 300 hadiah di kesemua lapangan terbang yang terlibat.

Lapangan terbang yang mengambil bahagian termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu; Terminal Skypark Subang ; Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang; Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh; Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain