suria

Firefly Tambah Penerbangan Harian Kelima Ke Singapura

KUALA LUMPUR: Firefly, yang dikenali sebagai sebuah syarikat penerbangan komuniti, akan menambah kekerapan penerbangan hariannya dari Subang ke Singapura, bagi menampung permintaan tinggi pada masa ini.

Penerbangan kelima itu kini dibuka untuk jualan dan perkhidmatannya akan bermula dari 28 Mac, kata Firefly dalam satu kenyataan hari ini.

"Muatan yang tinggi dan permintaan yang amat menggalakkan untuk laluan ini telah mendorong kami untuk menambah penerbangan ini," kata ketua Pemasaran dan Komunikasi Firefly, Angelina Fernandez.

Bagi meraikan frekuensi tambahan itu, Firefly menawarkan tambang promosi dari serendah RM100.

Promosi pada masa ini turut meliputi penerbangan ke semua destinasi dari serendah RM50 dan RM100, masing-masing untuk penerbangan domestik dan antarabangsa.

Tawaran tambang istimewa itu ialah mulai dari sekarang hingga 21 Januari untuk tempoh penerbangan dari 21 Januari hingga 30 Oktober tahun ini.

Tempat duduk promosi adalah terhad dan boleh diperolehi "siapa cepat" dan tempahan dibuat secara eksklusif dalam talian menerusi www.fireflyz.com.

Firefly, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines, menjangka membawa sejumlah 1.3 juta penumpang menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain