suria

UKM Hasil 8 Tan Sampah Sehari, Sasar Sifar Sisa Buangan 2015

BANGI: Sebanyak lapan tan sampah sarap dihasilkan oleh warga kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setiap hari, kata Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sehubungan itu, semalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu melancarkan kempen sifar sisa buangan dan menyasarkan dalam tempoh lima tahun akan datang kampus itu akan memiliki sistem pelupusan sampah yang lebih terancang.

Menurut Sharifah Hapsah, sejak tahun 2008, kampus itu berjaya mengurangkan sisa buangan yang dibawa ke tapak pelupusan sampah secara berperingkat-peringkat melalui proses pengasingan. "Menerusi memorandum yang ditandatangani antara universiti ini dengan Alam Flora Sdn. Bhd (Alam Flora) pada Disember 2008, sebanyak 11 peratus daripada sisa buangan telah berjaya dikitar semula.

“Matlamat kami pada tahun ini adalah untuk mengitar semula 22 peratus daripada sisa buangan di seluruh kampus sebelum akhir tahun ini,” kata beliau selepas melancarkan Kempen Kampus Sisa Sifar di sini semalam.

Dalam pada itu, Sharifah Hapsah memberitahu, kira-kira 100 tong pengasingan yang disediakan di sekitar kampus tersebut.

Katanya, ia sebagai kemudahan kepada warga UKM menjayakan matlamat mengurangkan kapasiti sampah. Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bercadang mewujudkan pengajian baru berkaitan dengan bidang kitar semula sisa pepejal pada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) dengan kerjasama Alam Flora.

“Kami telah mengutarakan idea ini dan mereka nampaknya menunjukkan reaksi positif walaupun usul ini masih lagi dalam proses perbincangan.

“Selain itu, UKM juga telah memohon pihak Alam Flora untuk menaja program penyelidikan yang telah dicadangkan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain