suria

SPRM Kuatkuasakan Larangan Umum Laporan Rasuah Pada Media

PUTRAJAYA: Tiada lagi laporan dalam media berkaitan kes-kes rasuah yang baru diadukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun kes yang masih dalam siasatan.

Hukuman yang boleh dikenakan jika melanggar larangan berkenaan ialah penjara selama dua tahun dan denda sebanyak RM100,000 seperti yang termaktub dalam peruntukan Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009.

Amaran itu ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed bagi memastikan elemen kerahsiaan dipelihara.

"Sejak penubuhan suruhanjaya ini, kita tidak pernah gunakan, tapi pada masa akan datang kita akan pakai peruntukan ini demi keadilan kepada semua pihak.

"Apabila kita bercakap mengenai keadilan ia adalah untuk semua pihak termasuk orang yang disiasat atau pengadu, bila sesuatu laporan itu didedahkan ia akan menjejaskan siasatan SPRM," katanya pada sidang media di sini semalam.

Seksyen berkenaan dengan jelas menyatakan sesuatu aduan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu, melainkan jika pendedahan itu dibuat dengan persetujuan Pendakwa Raya atau seorang pegawai Suruhanjaya yang berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi.

Abu Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pengerusi Bersih Bangun Selangor (Bebas), Mohd Abdul Raof Mokhtar yang membuat laporan kepada SPRM semalam melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung kampus projek Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Mohd Abdul Raof berkata kerajaan Selangor telah mengarahkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) supaya melantik Abdul Khalid sebagai pengerusinya, kerana jika tidak, pembinaan kampus itu di sekeping tanah milik yayasan itu akan dihentikan.

Mengulas lanjut, Abu Kassim berkata, tindakan menggunakan media untuk menghebahkan mengenai sesuatu laporan yang dibuat kepada SPRM akan mengganggu proses siasatan.

Menurutnya, trend menggunakan saluran media oleh pihak-pihak tertentu sebelum atau selepas membuat laporan kepada suruhanjayanya perlu diperbetulkan.

"Saya lihat akhir-akhir ini ada satu trend bila nak buat sesuatu laporan, mereka akan membawa berkampung-kampung pemberita... ini perlu diperbetulkan dahulu.

"Selain elemen kerahsiaan, kita juga ada elemen kejutan iaitu kita perlu pergi ke sesuatu tempat untuk mendapatkan bukti.

"Tapi apabila ia sudah dihebahkan pada peringkat awal, saksi keterangan akan menghilangkan diri," katanya.

Tambah beliau pihak media perlu bekerjasama dengan pihaknya bagi membantu mengubah persepsi masyarakat menganai tugas dan tanggungjawab SPRM.

Katanya SPRM bukan sahaja mahu melaksanakan tugas dengan telus, tapi turut mahu sentiasa dilihat sebagai sebuah agensi yang telus.

"Apabila kita nak menyiasat, kita perlu pastikan orang-orang yang terlibat dapat dipanggil, tapi macam mana kita nak jalankan siasatan kerana semua pihak yang kita nak panggil dah tahu mereka akan dipanggil dan pihak yang disiasat pun tahu siapa SPRM nak panggil.

"Jadi sudah pasti ada pihak-pihak yang akan hilangkan diri dan SPRM tak berjaya jalankan siasatan... bila tak berjaya kita akan dituduh sebagai tidak berkesan," katanya.

Selain itu menurut Abu Kassim, tindakan media melaporkan mengenai sesuatu kes rasuah juga akan secara tidak langsung akan mengaibkan pihak-pihak yang terlibat.

Ditanya sama ada penguatkuasaan akta berkenaan akan menghalang kebebasan media, beliau berkata: "Ini bukan soal kebebasan media tapi soal hak... hak dan keadilan tidak kira kepada sesiapa pun."

Berhubung sama ada SPRM akan mengambil tindakan terhadap semua pihak yang melaporkan mengenai laporan berkaitan YBK semalam, Abu Kassim berkata akta tersebut akan mula dikuatkuasakan mulai hari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain