suria

Seludup Beras Rancak Menjelang Tahun Baru Cina

PASIR MAS: Kes penyeludupan beras dijangka semakin meningkat menjelang perayaan Tahun Baru Cina pada pertengahan bulan depan, kata Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Mohamad Khalid Wahab.

Beliau berkata, fenomena terbabit seolah-olah menjadi 'trend' penyeludup untuk meraih keuntungan lebih ekoran beras mendapat permintaan tinggi dan menjadi keperluan asas penduduk.

Hari ini, PGA menumpaskan sindiket penyeludupan beras di Kampung Kubang Benbam di sini kira-kira pukul 9.45 pagi.

"Serbuan dilakukan di sebuah stor di kampung terbabit oleh sepasukan anggota PGA bersama unit Kawalselia Padi Beras Kelantan dan berjaya merampas 304 kampit beras wangi dan beras pulut 50 kilogram," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan beras rampasan terbabit dianggarkan bernilai RM46,600.

Beliau berkata, pihaknya percaya bekalan beras terbabit adalah untuk pasaran tempatan dan stor yang digunakan penyeludup sebagai penempatan sementara bekalan beras mereka sebelum ia diedarkan ke negeri-negeri lain.

"Sepanjang awal bulan ini, kes rampasan beras ini adalah yang kedua berlaku dalam tempoh tidak sampai 10 hari dan ia berlaku di tempat yang sama menunjukkan penyeludup seperti tidak serik dan sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih keuntungan berlipat ganda tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi," katanya.

Mohamad Khalid berkata, kesemua rampasan beras itu diserahkan kepada Unit Kawalselia Padi Beras Kelantan untuk tindakan selanjutnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain