suria

Polis Tembak Mati Ketua Kumpulan Penjenayah

BUKIT MERTAJAM: Polis menembak mati ketua kumpulan penjenayah yang sangat dikehendaki dalam satu kejadian berbalas tembak di Taman Permata di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, dalam kejadian pada pukul 6.05 petang itu, lelaki terbabit yang berusia 44 tahun mati di tempat kejadian.

"Hasil maklumat awam dan risikan sejak beberapa minggu lepas, polis berjaya mengesan lelaki terbabit di kawasan kedai di Taman Permata di sini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis dari Bukit Aman dan Pulau Pinang yang mengekori lelaki terbabit cuba menahannya di kawasan itu, tetapi dia cuba melarikan diri.

"Ketua kumpulan penjenayah terbabit yang mulanya berada di hadapan sebuah kedai bertindak masuk ke dalam keretanya untuk melarikan diri sebaik nampak anggota kami di situ," katanya.

Ayub berkata, ketika dalam usaha melarikan diri itu, lelaki terbabit terlanggar seorang penunggang basikal sebelum melanggar kereta polis yang berada di situ, menyebabkan penunggang basikal dan seorang anggota polis cedera dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.

"Lelaki itu kemudian melepaskan tembakan ke arah polis dan kami terpaksa membalasnya," katanya.

Hasil pemeriksaan katanya, polis menemui sepucuk pistol serta beberapa butir peluru dan mendapati kereta yang digunakan lelaki terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati lelaki berasal dari Berapit di sini itu mempunyai kira-kira 16 kes jenayah lampau antaranya samun, rompakan, curi dan peras ugut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain