suria

MOU Malaysia, Arab Saudi Jalin Kerjasama Efisien

PUTRAJAYA: Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan Arab Saudi berkaitan kerjasama dasar keselamatan dapat memastikan kerjasama dijalin secara lebih sistematik dan efisien antara kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara skop kerjasama yang tersenarai dalam MoU itu ialah memerangi keganasan, penyeludupan dadah, pemalsuan dokumen, penyeludupan senjata api dan jenayah siber.

"Ia akan dilaksanakan menerusi kerjasama teknikal serta perkongsian maklumat risikan, kepakaran, hasil kajian saintifik dan percetakan berkaitan," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pengisian dan kandungan MoU itu diperincikan dalam mesyuarat melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 8 Januari lepas serta sudah mendapat kelulusan kabinet.

Hishammuddin kini berada di Arab Saudi mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan kerja empat hari ke negara itu dan akan mewakili Malaysia untuk menandatangani MoU berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi agensi-agensi yang dikenal pasti sebagai agensi pelaksana bagi merealisasikan MoU ialah PDRM, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Diharapkan melalui MoU itu, kedua-dua negara dapat mewujudkan mekanisme mesyuarat secara tahunan di antara kedua-dua negara yang bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan program yang dirancang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain