suria

MB Selangor Cadang YBK Gabung Tenaga Jayakan Program Banteras Kemiskinan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mencadangkan supaya Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bergabung tenaga dengan kerajaan negeri dalam menjalankan program membanteras kemiskinan di Selangor.

Beliau berkata memandangkan kerajaan negeri juga menjalankan program membasmi kemiskinan, sebaik-baiknya kedua-dua pihak bergabung dalam memastikan program itu dapat diuruskan dengan baik.

Katanya gabungan usaha kedua-dua pihak itu akan dapat mengelak pertindihan dalam program-program membasmi kemiskinan, di samping fokus terhadap usaha membantu golongan miskin itu dapat ditingkatkan lagi.

"Harta negeri terhad dan banyak masyarakat miskin perlu dibantu, sebab itu kalau dapat bekerjasama, harta negeri dan YBK dapat diuruskan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini hari ini.

Kerajaan Negeri sebelum ini menyatakan hasrat untuk melantik Abdul Khalid sebagai Pengerusi YBK, manakala Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor Rodziah Ismail sebagai anggota lembaga pengarah yayasan itu.

Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom pula dilaporkan berkata badan itu perlu membayar tunggakan cukai RM6 juta dengan segera jika enggan menerima Khalid sebagai pengerusinya, sekali gus merencatkan pembangunan kampus UiTM di atas tanah milik yayasan itu di Serendah, Selangor.

Sementara itu Abdul Khalid hari ini membuat penjelasan mengenai kenyataan beliau sebelum ini berhubung laporan kewangan tahunan YBK.

"Bukan saya kata YBK tidak ada projek, yang saya katakan belum ada laporan kewangan tahunan YBK. Kalau orang bagi kita harta, tanah, sekurang-kurangnya dia mesti beri laporan kepada kerajaan negeri, ini dia tidak pernah beri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menyelesaikan isu pemindahan operasi bas dan teksi dari perhentian bas lama di bandar Klang ke Stesen Klang Sentral di Meru, Klang.

"MPK sudah terangkan kepada saya bahawa walaupun ada masalah tetapi ia hampir dapat diselesaikan berikutan hampir kesemua pemilik syarikat bas dan teksi bersetuju untuk pindah ke stesen Klang Sentral dan besok mereka akan adakan perbincangan dengan semua anggota majlis dan mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain