suria

Masih Banyak Kenderaan Berat Gagal Papar Nombor Baru LPKP

KUALA LUMPUR: Di sebalik pelbagai rungutan mengenai mutu perkhidmatan pengangkutan awam, masih banyak bas dan lori didapati tidak memaparkan nombor aduan SMS Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang baru.

Tinjauan di sekitar ibu negara hari ini mendapati masih terdapat bas termasuk bas RapidKL, selaku operator utama perkhidmatan bas di Lembah Klang, menggunakan nombor aduan SMS 39900 sedangkan LPKP telah melancarkan mySMS 15888 dan talian terus 1-800-88-9600 sejak 18 Ogos tahun lepas untuk menerima aduan daripada orang ramai berhubung salah laku pemandu kenderaan perdagangan di jalan raya.

"Saya pun hairan kenapa selepas empat bulan mereka masih tak tukar nombor SMS aduan baru. Ini soal keselamatan dan kepuasan (pengguna)...tak boleh buat main-main," kata Danial Malik, seorang pengguna pengangkutan awam, ketika ditemui di stesen bas Titiwangsa dekat Pekeliling di sini.

Sebaliknya kebanyakan teksi memaparkan nombor talian terus dan SMS aduan baru pada kereta mereka.

"Pelekat ni RM2 je. Saya tukar pelekat ni masa buat pemeriksaan dengan Puspakom bulan lepas," kata pemandu teksi Jamaluddin Zulkarnai.

Media sebelum ini melaporkan semua aduan yang disalurkan kepada LPKP akan diambil tindakan selain disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk tindakan selanjutnya.

Malangnya, buat masa ini, sistem aduan itu hanya beroperasi pada hari bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang dan aduan itu akan dirakamkan dalam peti suara pada hari minggu, cuti am dan selepas waktu pejabat, sebelum diambil tindakan kemudiannya.

"LPKP kena ambil tindakan. Kalau harapkan pengusaha tanpa tekanan LPKP mereka akan buat macam lepas batuk di tangga," kata Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman.

Beliau mencadangkan sistem aduan itu disertakan nombor JPJ dan polis.

Sementara itu, Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengakui terdapat sebilangan pengusaha bas termasuk bas ekspres dan lori kelas A dan C belum menukar stiker sistem aduan baru itu.

Katanya, kebanyakan pihak terbabit memiliki banyak bas dan lori menyebabkan proses menukar pelekat itu memakan sedikit masa.

"Pengusaha mempunyai sehingga akhir bulan ini untuk menukarnya atau dikenakan tindakan. Tapi seboleh-bolehnya kita mahu mereka menukarnya atas dasar tanggungjawab kepada masyarakat, bukannya kerana terpaksa mengikut peruntukan undang-undang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain