suria

IKIM Anjur Muzakarah Penggunaan Kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) akan menganjurkan muzakarah pakar pada 21 Januari ini bagi mengupas serta mencari jalan penyelesaian terhadap isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang kini sedang hangat diperkatakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, muzakarah secara tertutup itu merupakan platform yang paling sesuai bagi mencari jalan penyelesaian secara aman berbanding forum yang dibuat secara terbuka.

"Justeru saya berharap muzakarah ini akan dapat dimanfaatkan oleh pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah bersangkutan agama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil dan diploma pada majlis konvokesyen ketujuh Institut Profesional Baitulmal (IPB) di sini hari ini.

Mashitah berkata, bagaimanapun masyarakat harus sedar bahawa isu penggunaan kalimah Allah yang ditimbulkan oleh majalah Kristian Herald-The Catholic Weekly harus diselesaikan di mahkamah.

"Kes ini bermula di mahkamah, jadi ia harus selesai di mahkamah. Kita harap dan minta semua pihak faham dan sedar tentang perkara ini," katanya.

Mengenai 12 resolusi muzakarah oleh 70 badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dicapai semalam termasuk untuk meminta Majlis Raja-Raja menangani segera isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama, Mashitah berkata, ia merupakan inisiatif oleh NGO Islam bagi mendapatkan pendirian bersama mengenai isu itu.

Beliau berkata, muzakarah itu juga memberikan isyarat kepada masyarakat lain bahawa orang Islam sensitif dengan perkara yang membabitkan agama mereka.

"Perkara ini juga harus dipandang serius oleh pihak Herald. Saya berharap kes ini diselesaikan dengan cara baik," katanya.

Dalam pada itu Mashitah berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui IPB telah menambah peruntukan daripada RM8.5 juta pada tahun 2008 kepada RM12 juta mulai tahun lepas dalam usaha melahirkan profesional Melayu-Islam.

Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 371 graduan diraikan yang terdiri daripada pemegang Diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) seramai 270 orang, The London Chamber of Commerce and Industry 86 orang dan Certified Accounting Technician 15 orang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain