suria

Bot Nelayan Indonesia Ditahan Di Perairan Langkawi

ALOR SETAR: Sebuah bot nelayan Indonesia ditahan berhampiran perairan Pulau Langkawi, kira-kira 26 batu nautika dari Pulau Beras Basah Rabu lalu.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), seorang tekong berumur 16 tahun bersama enam orang awak-awak yang berumur antara 16 hingga 20 tahun yang dipercayai berbangsa Indonesia juga ditahan.

"Pelbagai peralatan menangkap ikan seperti tali rawai dan tali pancing serta hasil tangkapan ikan yang dianggarkan sebanyak 200 kilogram berjumlah RM500 yang dipercayai akan dipasarkan di pasaran Indonesia berada dalam bot tersebut ketika ditahan," kata APMM menerusi satu kenyataan.

Bot nelayan itu telah diletakkan di jeti perikanan Bukit Mulut, Langkawi manakala tekong dan awak-awaknya pula ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuah, selama tujuh hari untuk disoal siasat.

Menurut APMM, jika sabit kesalahan di bawah seksyen 15 (1)(A) Akta Perikanan 1985, seorang tekong boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta manakala awak-awak pula boleh dikenakan denda RM100,000.

Tangkapan ke atas nelayan tersebut dibuat setelah sepasukan anggota maritim yang membuat rondaan di perairan Langkawi kira-kira 5.41 petang pada hari kejadian telah mengesan sebuah bot kayu yang berada dalam keadaan mencurigakan yang setelah diperiksa, didapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran serta dokumen perjalanan yang sah untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.

APMM berkata, tangkapan itu adalah tangkapan bot nelayan asing yang pertama bagi tahun 2010. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain