suria

Unit Bergerak JPN Ditambah Bantu Penduduk Pedalaman Sarawak

Pengarah JPN Sarawak Datuk Abu Bakar Mat berkata, mulai Februari unit itu akan mula beroperasi di Sri Aman, Betong, Kapit dan Bintulu bagi mencapai sasaran menangani masalah warga negara tanpa dokumen pengenalan diri dalam tempoh dua tahun di kawasan pedalaman Sarawak.

"Pada tahun 2004, JPN Sarawak sudah mewujudkan unit serupa di Kuching serta di Miri yang kedua-dua masih beroperasi sehingga kini, dan akan perluaskan khidmat tersebut berikutan ada pertambahan kakitangan," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Abu Bakar berkata penambahan unit itu bersesuaian dengan kedudukan geografi Sarawak yang lebih luas dan sukar dihubungi melalui jalan darat.

Beliau berkata bagi meningkatkan keberkesanan unit itu, JPN Sarawak telah memohon peruntukan untuk membeli kenderaan pacuan empat roda sendiri kerana kenderaan yang digunakan sekarang adalah disewa. Abu Bakar berkata JPN Sarawak tidak bercadang menggunakan khidmat helikopter bagi memudahkan operasi unit itu kerana kaedah sedia ada sudah mencukupi.

"Antara fokus utama UKB tahun ini ialah membantu warga negara di kawasan pedalaman di Sarawak yang memiliki sijil kelahiran tapi belum memiliki dokumen pengenalan diri seperti MyKad," katanya.

Beliau berkata JPN Sarawak bercadang untuk memperluaskan khidmat kaunter tujuh hari seminggu yang kini hanya terhad di Kuching dan Miri.

"Setakat ini kaunter JPN di Kuching beroperasi Sabtu dan Ahad manakala Miri beroperasi pada hari Sabtu sahaja, dan kalau ada kakitangan mencukupi, kita bercadang membuka kaunter serupa di Sibu dan Bintulu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain