suria

Polis Tahan Lima Lelaki Berhubung Kejadian Bom

PULAU PINANG: Polis berjaya menahan lima lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua penjenayah yang ditembak mati kerana terbabit dalam dua kejadian serangan bom tangan baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata susulan daripada kejadian polis menembak mati rakan mereka di Sungai Bakap di sini pada 9 Jan lepas, polis menahan dua orang di negeri ini dan tiga orang lagi di Perak.

"Mereka ini ditahan untuk membantu siasatan manakala salah seorang daripada lelaki itu telah dibebaskan minggu ini dengan ikat jamin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata empat lelaki yang masih lagi dalam tahanan polis akan direman sehingga 16 Januari ini.

Dalam insiden Sabtu lepas, polis menembak mati dua lelaki dipercayai suspek utama beberapa kejadian letupan bom di sekitar negeri ini, di ladang kelapa sawit berhampiran kubur Cina Tasek, Sungai Bakap. Kedua-dua lelaki berusia 52 tahun dan 30an itu ditembak mati dalam insiden berbalas tembak dan cubaan membaling sebutir bom tangan ke arah polis kira-kira 4.45 petang.

Selain itu, Ayub memberi amaran keras kepada pihak yang membuat panggilan bom palsu supaya menghentikan perbuatan mereka.

"Tindakan seumpama itu membuang masa berharga banyak pihak malah turut merugikan kerana kos untuk menghantar pasukan yang mahir dalam perkara itu bukan murah," katanya sambil memberi amaran akan mengambil tindakan tegas.

Justeru, beliau menyeru kepada semua supaya bersikap lebih bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain dengan tidak melakukan kerja-kerja begitu.

Beliau berkata siasatan awal polis menunjukkan terdapat enam panggilan bom palsu di sembilan bank dalam kawasan daerah Seberang Perai Utara dan dua panggilan bom palsu di tiga bank dalam daerah Barat Daya bagi tempoh dua minggu pertama tahun ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain