suria

Polis Tahan Dua Anggota Kongsi Gelap

PULAU PINANG: Polis yang memperhebatkan buruan untuk membongkar kegiatan gangster di Pulau Pinang telah menangkap dua orang yang dipercayai anggota kongsi gelap yang bergaduh awal pagi tadi.

Siasatan awal polis mendapati mereka merupakan anggota kumpulan jahat Gang 04 yang cuba menghidupkan kembali kumpulan yang beroperasi di sekitar pulau ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata polis akan menggunakan segala undang-undang yang ada untuk menbanteras kumpulan tersebut.

Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai bergaduh sesama sendiri pada 5 pagi tadi di Relau, Balik Pulau untuk merebut kawasan.

"Lebih kurang 10 anggota kumpulan tersebut yang bersenjatakan parang telah bergaduh awal pagi tadi untuk merebut kuasa mengawal sesuatu kawasan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontingen di sini hari ini.

Beliau berkata suspek yang ditahan berumur 39 dan 43 masing-masing mempunyai rekod jenayah.

Dalam kes lain, Ayub berkata polis sedang memburu tiga orang penjenayah dengan salah seorang daripada mereka bersenjatakan pistol berhubung dengan cubaan mereka untuk menyamun sebuah kedai ikan hiasan di Bukit Mertajam, pagi tadi.

Beliau berkata kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 6 pagi apabila cubaan tiga penyamun untuk memecah masuk kedai tersebut disedari oleh pemiliknya.

"Salah seorang daripada mereka melepaskan dua tembakan ke udara dalam usaha mereka untuk melarikan diri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain