suria

Polis Rampas DVD Cetak Rompak, Tiga Lelaki Warga China Ditahan

MELAKA: Polis merampas 17,463 keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah bernilai RM300,000 serta menahan tiga lelaki warga China dalam dua serbuan berasingan di sini hari ini.

Ketua Polis Melaka SAC 1 Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata dalam serbuan pertama pada pukul 1.15 pagi tadi, polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 33 tahun di sebuah rumah sewa dua tingkat di Kampung Lapan, Tengkera, di sini.

"Semasa pemeriksaan dibuat seorang sedang tidur dan seorang lagi sedang menyusun DVD untuk diedarkan di negeri ini, Pulau Pinang dan Johor," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

Katanya dalam serbuan kedua pada pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman Kenanga Mewah di sini, polis menemui 14,137 keping DVD cetak rompak pelbagai tajuk dan 3,326 DVD lucah dan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun.

Polis turut merampas 12 peralatan komputer yang dilengkapi 89 penyalin dan 87 botol dakwat pencetak, yang digunakan untuk mencetak DVD lucah dan cetak rompak itu dari rumah berkenaan.

Beliau berkata sindiket itu menyewa di rumah berkenaan dan bergerak aktif sejak tiga bulan lepas.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 dan 16(3) akta sama bagi kesalahan mencetak DVD lucah dan cetak rompak manakala Seksyen 39(B) Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain