suria

Pegawai Kerajaan Dan Swasta Antara Yang Dituduh Di Mahkamah Berhubung Rasuah

PUTRAJAYA: Pegawai tinggi kerajaan dan swasta termasuk naib canselor, ketua setiausaha, ketua pegawai eksekutif dan pengurus syarikat adalah antara yang dituduh di mahkamah atas kesalahan rasuah sepanjang tahun lepas.

Selain itu, 14 ahli politik terdiri dari 11 orang daripada Barisan Nasional dan tiga dari Pakatan Rakyat turut dituduh atas kesalahan sama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata mereka adalah antara 176 orang yang dituduh di mahkamah dan ini merupakan kejayaan SPRM sepanjang tahun 2009.

"Kami akan pastikan tindakan kami telus dan bebas dengan tidak membezakan siapa dan dari mana mereka termasuk parti politik dan itu adalah janji kami," katanya kepada pemberita pada sesi taklimat pertama Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed bersama media di pejabatnya di sini sejak dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa 1 Januari. Mohd Shukri berkata daripada 176 yang dituduh itu, dua ialah pegawai tinggi kerajaan berpangkat Jusa C ke atas, 19 orang dari kumpulan pengurusan dan profesional gred 41 hingga 54, 68 orang dari kumpulan sokongan, 14 ahli politik, 17 pegawai kanan swasta manakala selebihnya orang awam.

Beliau berkata sebanyak 5,825 maklumat yang mempunyai asas untuk tindakan siasatan diterima SPRM sepanjang tempoh itu.

"Daripada jumlah itu kita membuka 937 kertas siasatan dan menahan 500 orang yang dipercayai terlibat," katanya.

Beliau berkata sebanyak 75 peratus kes-kes yang dibicarakan di mahkamah memihak kepada SPRM dan beliau berharap peratusan itu akan meningkat kepada 80 peratus pada tahun ini.

Sementara itu, Abu Kassim berkata langkah pertama yang diambil setelah dilantik Ketua Pesuruhjaya ialah bagi membantu kerajaan meningkatkan persepsi indeks bagi mengurangkan pandangan negatif masyarakat terhadap SPRM.

"Tanggungjawab saya adalah memperbetulkan tanggapan masyarakat terhadap SPRM iaitu seolah-olah SPRM bukan menjalankan siasatan malah turut membuat pendakwaan dan tanggapan ini perlu diperbetulkan kerana kami hanya menjalankan siasatan sama ada kes besar atau kecil," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menubuhkan lima jawatankuasa bagi memberi peluang dan ruang kepada masyarakat terlibat dalam kerja-kerja SPRM termasuk bagi memantau perjalanan siasatan SPRM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain