suria

Meminjam Dari Ah Long Belum Lagi Jadi Kesalahan Di Singapura

SINGAPURA: Singapura, yang semakin menghadapi masalah Ah Long, istilah popular bagi ceti haram, belum menjadikan tindakan meminjam wang dari golongan itu sebagai satu kesalahan.

Menteri Kanan Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Prof Madya Ho Peng Kee hari ini memberitahu Parlimen bahawa kerajaan telah menerima pelbagai maklum balas sejak kementeriannya mula mengkaji isu itu dua tahun lepas.

Katanya ada yang berhujah ketika ramai peminjam beralih kepada Ah Long kerana hutang berjudi, tetapi ada yang meminjam kerana keperluan kewangan mendesak seperti bayaran bil yang tidak diduga.

Katanya ada yang mengatakan meminjam dari golongan ini dijadikan satu jenayah akan mendorong Ah Long bergerak dalam pasaran gelap, menghalang peminjam daripada melaporkan insiden kepada polis seperti ugutan, ancaman dan teruk sekali meminta bantuan.

Perkara ini mungkin menyebabkan Ah Long menggunakakan taktik yang lebih bahaya lagi terhadap peminjam, katanya. "Atas alasan ini kami tidak meneruskan tindakan meminjam wang dari Ah Long sebagai satu kesalahan setakat ini," kata Ho ketika membentangkan Rang Undang-Undang Peminjam Wang (Pindaan) untuk bacaan kali kedua.

Katanya kementerian akan memantau kesan langkah yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu sebelum menilai semula pilihannya.

Di bawah pindaan itu, pihak penguatkuasa diberi kuasa tambahan bagi menyekat sumber kewangan yang membantu operasi Ah Long khususnya anggota utama dalam sindiket ceti haram.

Rang Undang-Undang itu juga memperkenalkan langkah baru bagi mengukuhkan langkah perundangan yang sedia ada termasuk menambahkan hukuman dan menentukan bentuk tindakan jenayah yang menyumbang atau meningkatkan aktiviti Ah Long di negara itu.

Undang-undang itu juga memberi kuasa kepada pihak berkuasa memburu Ah Long yang melarikan diri dari negara itu.

Ho berkata masalah Ah Long bukan sesuatu yang unik kepada Singapura kerana ia juga merupakan masalah sama di negara lain. Pada hakikatnya, katanya aktiviti ceti haram terus mencengkam di negara-negara seperti Malaysia, Hong Kong dan United Kingdom di mana pihak berkuasa, sama seperti Singapura, menghadapi cabaran hebat dalam usaha membasmi gejala itu.

Ho berkata kecuali pada 2007 apabila bilangan Ah Long dan kes ancaman dan ugutan untuk melunaskan pinjaman di Singapura sedikit menurun, bilangan laporan seperti itu terus meningkat dengan 11,879 kes dicatatkan pada 2008 dan 18,645 kes tahun lepas.

Jumlah tangkapan juga meningkat dari 390 orang pada 2007 kepada 505 pada 2008 dan jumlah itu terus meningkat kepada 958 orang tahun lepas.

Tahun lepas, seramai 154 remaja di bawah 19 tahun ditahan kerana terbabit dalam aktiviti Ah Long dan ugutan berbanding 63 remaja pada 2008, dengan separuh daripada mereka merupakan pelajar.

Pada Jun tahun lepas, polis menahan sembilan pekerja Ah Long, dengan paling muda berusia 12 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain