suria

Malaysia Tarik Lebih Banyak FDI Dari China Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Berikutan pemulihan ekonomi dunia secara berperingkat-peringkat, Malaysia akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Bagi merealisasikan matlamat itu, beliau berkata kerajaan berusaha menarik lebih ramai pelabur China melabur di Malaysia dan menggunakan negara ini sebagai pangkalan untuk menambah nilai untuk produk eksport mereka.

"Saya optimistik dan yakin mengenainya," katanya kepada pemberita selepas berdialog dengan usahawan Malaysia sempena taklimat dan perundingan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matarde) 2010.

Mukhriz berkata Malaysia akan melihat kemasukan lebih banyak FDI tahun ini berdasarkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat, selain prospek peluasan sektor perkhidmatan.

"Sektor perkhidmatan merangsang pertumbuhan ekonomi, membawa masuk teknologi, mewujudkan pekerjaan dan menawarkan peluang-peluang baharu untuk usaha sama antara penyedia perkhidmatan domestik dan asing," katanya yang menambah: "Malaysia juga mahu menarik pelabur Jepun, Amerika Syarikat dan Timur Tengah."

Mukhriz berkata Malaysia berada pada landasan tepat untuk memperoleh RM20 bilion pada 2009 seperti sasaran.

Antara Januari dan September 2009, negara memperoleh FDI berjumlah RM12.6 bilion berbanding RM62.8 bilion pada 2008, katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Mukhriz berkata negara di Asia Tenggara disasarkan kekal antara rantau ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia meskipun pertumbuhan ekonomi yang lembap susulan peningkatan gaji, saingan dunia yang semakin meningkat serta turun naik pasaran.

Beliau berkata negara di rantau ini akan terus menarik FDI memandangkan pelabur asing mahu menguasai peluang-peluang baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan bersih, industri telekomunikasi, pengilangan barangan canggih serta produk pertanian.

Syarikat Malaysia juga terus meningkatkan perkhidmatan dan produk untuk kekal kompetitif di peringkat serantau dan global, katanya.

"Pematuhan terhadap standard kualiti antarabangsa dan akreditasi merupakan antara kriteria yang perlu dipatuhi oleh syarikat Malaysia untuk terus relevan di pringkat global kerana ia juga mematuhi dasar negara," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Noharuddin Nordin turut hadir pada taklimat itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain