suria

Kerajaan Tiada Rancangan Laksana 'Program Pemutihan'

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula'program pemutihan', iaitu program yang membenarkan pekerja asing haram di negara ini didaftarkan secara sah, dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kementerian mendapati sebahagian pekerja asing yang tamat tempoh permit kerja masih berada dalam negara kerana dipengaruhi khabar angin bahawa kerajaan akan melaksanakan program itu.

"Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan tidak ada perancangan untuk melaksanakan semula program berkenaan di Semenanjung Malaysia kecuali untuk negeri Sabah yang telahpun tamat pada 31 Okt 2009 dan negeri Sarawak yang masih dalam peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri.

"Para pekerja asing yang terlibat dinasihatkan agar dengan segera meninggalkan negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata mereka yang telah tamat permit kerja untuk tempoh tertentu boleh memohon untuk menyertai program penghantaran pulang secara sukarela yang akan dibiayai sendiri dengan bayaran kompaun minimum. Program, yang bermula April tahun lalu, akan berakhir pada 16 Mei, dan mereka yang terlibat boleh merujuk kepada pihak kedutaan masing-masing atau Jabatan Imigresen untuk mendapatkan maklumat lanjut, katanya.

Hishammuddin berkata kementerian memandang serius kes salah guna visa di kalangan warganegara India seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam media hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu berkata beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu sedang dikaji termasuk menyemak semula kemudahan transit tanpa visa, memperketatkan pemeriksaan masuk, meningkatkan ciri-ciri keselamatan pengeluaran visa, mengurangkan tempoh sah visa tanpa rujukan serta mewujudkan kerjasama dua hala dengan negara-negara jiran yang menjadi pintu masuk alternatif.

Hishammuddin berkata majikan perlu lebih bertanggungjawab bukan saja daripada segi menguruskan pekerja mereka sepanjang tempoh kontrak perkhidmatan, tetapi turut membantu kerajaan memastikan pekerja asing yang tamat tempoh meninggalkan negara ini.

"Kita tidak boleh berterusan memenuhi tuntutan majikan untuk membenarkan pengambilan pekerja asing tanpa memastikan tidak berlaku lambakan pekerja asing yang telah tamat tempoh permit kerja untuk terus berada di dalam negara. "Dalam konteks ini, gerakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan agensi kerajaan amat memerlukan kerjasama yang menyeluruh daripada para majikan terlibat," katanya.

Hishammuddin turut mengingatkan para majikan agar tidak sama sekali menggaji pekerja asing secara haram kerana tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63 akan diambil termasuk mengkaji keperluan untuk meminda akta bagi membendung permasalahan itu.

Pekerja asing diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain