Wanita Daif, Mangsa Sindiket Dadah Dibantu Pulang Ke Tanah Air - Semasa | mStar

Wanita Daif, Mangsa Sindiket Dadah Dibantu Pulang Ke Tanah Air

SUBANG JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO sedang berusaha membawa pulang seorang ibu kepada enam anak yang kini ditahan di Milan, Itali setelah dijadikan ejen pengedaran dadah oleh sindiket antarabangsa.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata wanita tersebut yang tinggal di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan kini dalam tahanan pihak berkuasa negara tersebut sejak tahun lepas setelah membawa barangan terlarang itu.

"Selepas Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno berjaya membawa pulang pesakit mental, P. Jeyakumar yang ditahan di Argentina selepas diperdaya sindiket dadah antarabangsa, terdapat ramai yang tampil meminta bantuan dan kini kita dalam usaha membantu wanita tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata wanita berusia 40-an itu yang hidup daif dan bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijanjikan untuk mengembangkan peluang perniagaan jahitannya dengan diterbangkan ke Itali bagi mendapatkan tekstil yang bermutu di sana.

Namun apabila transit di Itali, bagasinya telah diisi dengan barang terlarang itu dan ditahan pihak berkuasa di sana.

"Suami mangsa telah membuat aduan kepada kami dan kini usaha sedang dijalankan. Kita telah berhubung dengan pihak berkuasa di sana bagi membebaskannya," katanya.

Beliau berkata sindiket dadah yang semakin terdesak menggunakan pelbagai cara termasuk menggunakan mereka yang kurang upaya, pesakit mental dan hidup daif untuk dijadikan mangsa.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Othman Harun berkata sindiket dadah antarabangsa yang mengunakan rakyat Malaysia sebagai kurier dadah pada tahun lepas menunjukkan penurunan malah tiada kes terbaru dilaporkan pada penghujung tahun lepas.

"Trend yang digunakan oleh sindiket dadah ini sentiasa berubah, jika dahulu mereka gunakan rakyat Malaysia namun kini trend itu telah berubah dengan menggunakan taktik lain pula setelah polis memantau secara dekat kegiatan yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya memang terdapat usaha sindiket tersebut menggunakan wanita kurang upaya, yang daif dan pesakit mental sebagai mangsa, namun ia tidaklah ketara.

"Sebelum ini kebanyakan mereka yang terlibat adalah wanita yang terdiri daripada pelajar, kes melibatkan orang kurang upaya hanyalah seorang, yang hidup daif dua orang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).